Tanah runtuh di Jalan Buai Melanjan, Ulu Padeh
BETONG: Hujan lebat membuatkan struktur tanah tidak stabil mengancam pengguna jalan raya yang melalui kawasan Jalan Buai Melanjan, Ulu Padeh apabila lereng bukit runtuh menutupi hampir separuh jalanraya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Betong Leftenan (PA) Desem Samuel berkata kejadian pertama berlaku pada 31 Januari yang lalu, dan ini merupakan kali kedua.
"Kejadian hari ini lebih teruk dengan tanah yang runtuh dalam anggaran ketinggian 17 meter dan kecuraman lereng bukit pada kiraan 60 peratus," kata beliau.
Orang ramai diminta berhati-hati apabila melalui kawasan yang terjejas dan kerja pembersihan sudah dilakukan.
"Pihak kontraktor yang dimaklumkan turut menggunakan jengkaut bagi membersihkan laluan serta membaik pulih lereng bukit," katanya.
Tambahnya pemantauan mendapati masih terdapat pergerakan aktif tanah runtuh di atas lereng bukit tersebut.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak APM telah memasang pita amaran di lokasi yang berisiko tinggi kejadian tanah runtuh.
Orang Awam dinasihati supaya berhati-hati apabila melalui jalan tersebut kerana runtuhan boleh berlaku sekiranya hari hujan lebat.