Tahanan penjara terlibat kemalangan, van dinaiki dirempuh pikap
KUCHING-- Sebuah van Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang sedang membawa seorang tahanan yang berdepan hukuman gantung, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pikap di lampu isyarat Batu 15 Jalan Kuching-Serian pagi tadi.
Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, van terbabit yang dipandu Pegawai Eskot Operasi berusia 40 tahun bersama Anggota Eskot,38, membawa seorang tahanan penjara lelaki berusia 33 tahun, dalam perjalanan ke Mahkamah Tinggi Kuching di sini.
"Dalam kejadian sekitar jam 8.15 pagi, pikap yang dipandu pekerja am lelaki berusia 49 tahun datang dari Batu 7 menghala ke Pekan Tapah.
"Ketika bergerak lurus di Jalan Kuching Serian berhampiran lampu isyarat Batu 15, pemandu pikap telah melihat lampu isyarat bertukar hijau lalu menukar lorong ke kiri sekali lalu memecut.
"Semasa sampai di lampu isyarat Batu 15, pikap terbabit telah merempuh van berkenaan yang datang dari arah kanan yang sedang bergerak lurus dari Puncak Borneo ke Samarahan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pada masa itu van Kastam terbabit sedang membawa seorang tahanan penjara yang bersabit dengan kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuching, Petrajaya.
Jelas Abang Zainal kemalangan tersebut menyebabkan kenderaan pikap tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala van Kastam berkenaan mengalami kerosakan di teruk bahagian sisi kiri, kanan dan depan.
"Pemandu pikap tidak mengalami kecederaan manakala pemandu van Kastam dan anggota Kastam tidak mengalami kecederaan dan hanya lebam.
"Sementara itu, tahanan terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala," dedahnya.
Menurutnya lagi, cuaca masa kejadian adalah baik dan kawasan jalan raya simpang empat berlampu isyarat yang berfungsi dengan baik dan kawasan terang waktu pagi.
Mengulas lanjut kejadian itu, beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kesalahan adalah berpunca daripada pemandu pikap berkenaan yang menyebabkan kemalangan menyebabkan kecederaan kepada tahanan terbabit.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.