Rebut peluang cuti sekolah bawa anak lihat hidupan liar seperti kelawar besar, lotong, kera dan orang Belanda serta nikmati juadah tradisional dalam suasana kampung di Maludam
MALUDAM-- 'Terserempak’ dengan pelbagai spesies burung hantu atau mendengar suaranya yang seram pada waktu malam, pengalaman menarik jika berkunjung ke
Taman Negara Maludam.
Matanya merah, suaranya seram sehingga meroma bulu tengkuk. Sekarang cuba bayangkan mendengar suara itu sambil membaca Borneo Network.
Selain burung hantu, taman negara ini adalah syurga pelbagai spesies hidupan liar terlindung, antaranya monyet belanda. Spesies ini amat mudah ditemui di sini.
Monyet belanda ini mampu memberikan ‘vibes’ yang baik untuk memulakan hari.
Hati pasti tercuit, melihat keletah haiwan itu yang terlompat-lompat dari satu pokok ke satu pokok, secara berkumpulan. Penat melompat, monyet ini duduk berehat di atas dahan pokok.
Ketika inilah pengunjung boleh menatap wajah monyet itu sepuas-puasnya. Tutup mata seketika. Rasakan udara segar pagi yang nyaman sambil mendengar suara
warga rimba, kicauan burung dan gemersik geseran dedaun.
Banyak tarikan di sini. Jika monyet belanda ini sangat aktif pada waktu pagi, keluang bakau pula sangat aktif waktu malam.
Tetapi pada waktu siang, keluang ini dapat dilihat tidur bergantung di bawah pokok di sepanjang sungai.
Pelawat berpeluang menyusuri sungai sambil menikmati keindahan flora dan fauna menggunakan perkhidmatan boat cruise yang disediakan pihak taman negara dengan kerjasama komuniti setempat.
Pakej yang ditawarkan berpatutan iaitu RM180 untuk dua jam.
Selepas puas menikmati keindahan alam semula jadi, rasakan suasana kedamaian di kampung pula.
Kampung-kampung di sekitar Maludam yang bergiat aktif dalam perusahaan kecil dan sederhana amat terkenal dengan produk makanan. Antaranya, produk makanan berasaskan gula apong, keropok ikan, keropok udang, kerepek pisang dan kuih tradisi Sarawak, kueh mata punai.
Pelbagai tarikan produk makanan yang terdapat di kampung Maludam yang sangat menarik seperti produk gula apong, keropok ikan, keropok udang, kerepek pisang dan kueh mata punai.
Bagi yang merindui gaya hidup di kampung, kunjungan ke sini pasti mengembalikan nostalgia.
Membuat gula apong, menganyam tikar atau kraft tangan di rumah panjang. Jika tepat musimnya, pelawat boleh merasai pengalaman menuai padi.
Tak cukup lagi? Pengunjung boleh menyaksikan lautan di pantai Pak Dris dan Muara Sungai Maludam berkilau emas ketika matahari terbenam.
Terdapat homestay dan hotel disediakan kepada pengunjung dengan kadar sewa penginapan yang berpatutan.
Mengapa mesti datang ke Taman Negara Maludam?
“Jawapannya agar kita dapat melihat sendiri kecantikan alam semula jadi, flora dan fauna yang jarang ditemui sesuai dengan fungsi lainnya sebagai kawasan tadahan hujan dan tanah gambut yang masih terpelihara.
Sempena cuti sekolah, pihak kami ingin menjemput orang ramai untuk melawat ke Taman Negara Maludam. Kedatangan anda amat dialu-alukan,” kata jurucakap Taman Negara Maludam kepada Borneo Network.
Ia beroperasi setiap hari mulai pukul 8 pagi sehingga 5 petang dengan yuran kemasukan sebanyak RM10 untuk orang dewasa tempatan dan RM20 untuk pelancong asing.
Manakala, RM3 dan RM7 masing-masing kanak-kanak tempatan dan kanak-kanak dari luar negara.
Pelawat yang mahu melawat boleh menghubungi Warden Taman Negara Maludam, Mohd Firdaus @ Malis di talian 010-8189934.
Taman Negara Maludam yang terletak di antara Bahagian Sri Aman dan Betong diwartakan pada 17 Februari 2000 merupakan taman negara yang terdekat dengan Jambatan Batang Lupar.
Berkeluasan 53,568 hektar dengan sempadan sepanjang 105 kilometer, ia merupakan destinasi hutan paya gambut asli yang terbesar di Malaysia.
Dianggarkan sebanyak 420 flora dan fauna yang pelbagai boleh dijumpai di taman negara ini.
Gambar kredit Taman Negara Maludam dan VIC Sibu