Projek perintis pemasangan bekalan gas berpaip ke Medan Niaga Saberkas Miri cerminan komitmen kerajaan negeri
MIRI--Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari menyifatkan , projek perintis pemasangan bekalan gas berpaip bawah tanah untuk perniaga makanan di Medan Saberkas Miri sebagai cerminan komitmen Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam memaksimumkan impak positif komuniti di sini dan memacu kemajuan pelan hala tuju gas Sarawak (SGR).
"Dengan siapnya projek perintis bekalan gas berpaip ini, saya yakin ia dapat meningkatkan lagi kemudahan sedia ada di Medan Saberkas Miri,"ujarnya pada majlis pelancaran projek perintis itu pada Sabtu.
Abang Johari diwakili timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Jelasnya, pihak Majlis Bandaraya Miri kini turut melaksanakan pemasangan papan tanda digital sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program Bandar Pintar Miri bagi memberi manfaat penggunaan teknologi digital dan pendigitalan dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan selamat.
" Pada awal tahun 1990-an, saya ingat lagi, Tamu Saberkas hanyalah kawasan perniagaan terbuka yang menggunakan tempat letak kereta di Pusat Komersial Saberkas di sini, di mana penjaja dan peniaga kecil memasarkan hasil pertanian dan hutan mereka," katanya.
"Kawasan ini sejak itu telah berkembang menjadi kawasan perdagangan yang kondusif untuk peniaga-peniaga ini, memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar serta Miri, di samping menjadi salah satu tempat yang mesti dikunjungi oleh pelawat dan pelancong.
Abang Johari dalam ucapannya, turut mencadangkan agar pihak Majlis Bandaraya Miri untuk meneroka kemungkinan menghubungkan Medan Saberkas Miri dengan Taman Bulatan di seberang jalan dan menjadikan seluruh kawasan itu sebagai kawasan tarikan komersil dan rekreasi yang serba lengkap, dibangunkan dengan baik.
"Saya berbesar hati untuk meneliti cadangan sedemikian demi memberi manfaat kepada masyarakat sekitar dan ekonomi tempatan," jelasnya.