PGA gagalkan cubaan bawa masuk dua PATI dalam Ops Batas
SERIAN--Cuba menyeludup dua Pendatang Tanpa Izin(PATI) warganegara asing digagalkan Pasukan Polis Gerakan Am dari Batalion 11 dalam Ops Batas di Kampung Sungai Paoh kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, pasukan operasi telah terserempak dan menahan dua buah kenderaan jenis perodua Kancil dan Myvi yang dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.15 malam.
Menurutnya, setelah pemeriksaan dilakukan terhadap kedua- dua kenderaan tersebut, mendapati terdapat dua lelaki warganegara tempatan sebagai pemandu dan masing-masing membawa seorang penumpang warganegara asing.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati warganegara asing tersebut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan yang sah.
"Pihak PGA telah menahan kedua-dua lelaki warga tempatan yang berumur 30 dan 39 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Atipsom 2007," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dua warganegera asing tersebut ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua tahanan telah dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat dibawah Akta Atipsom 2007 dan Akta Imigresen 1959.
"Jika didapati bersalah hukuman di bawah Akta Atipsom boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Aswandy berkata, kedua-dua warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 4(5) AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut.
"Pihak polis menasihati masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang akitivi membawa masuk warganegara asing kerana ini boleh mengundang pelbagai masalah sosial serta penyakit berjangkit di samping hukuman berat menanti sekiranya didapati bersalah.
"Justeru itu, sebarang maklumat berkaitan aktiviti sebegini hendaklah dilaporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan," tegasnya.