Periksa pukat sangkut, lelaki terjun tidak timbul-timbul
MIRI-- Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga tempatan yang dilaporkan hilang dikhuatiri lemas ketika memeriksa pukat yang dipasang di parit sebuah ladang sawit di Suai Niah sedang giat dilakukan.
Mangsa dikenali sebagai Robin Sempurai, 33 tahun dikatakan telah terjun dan menyelam ke dalam parit tersebut untuk memeriksa pukat yang dipasangnya tersangkut.
Kejadian dilaporkan berlaku pagi tadi.
Menurut rakan mangsa, Robin tidak timbul-timbul selepas menyelam ke dalam parit itu.
Satu laporan polis telah dibuat oleh rakan mangsa mengenai kejadian.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya telah pergi ke kawasan parit tersebut untuk memeriksa pukat yang dipasang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, sejurus dimaklumkan mengenai kejadian, pada 12.02 tengahari tadi (Khamis), sepasukan anggota dari Balai Bomba Batu Niah diketuai PBT II Rary Binjie telah digerakan ke lokasi bagi usaha mencari dan menyelamat.
Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dilakukan.