Pekerja KFC dikhuatiri lemas di Sungai Sebiew

Gambar BBP Bintulu

BINTULU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas dibawa arus deras Sungai Sibiew selepas tidak balik ke rumah sejak petang semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 2.25 petang tadi.

"Makluman awal yang diterima mengatakan pada 6 pagi tadi, keluarga mangsa dimaklumkan oleh jiran bahawa beg sandang dan sepasang selipar milik mangsa, Billy Mathew, 20, dijumpai berada di jeti," ujarnya.

Katanya, kali terakhir ahli keluarga melihat mangsa pada jam 2 petang semalam semasa hendak keluar bekerja ke KFC Paragon.

Menurut beliau, hasil penelitian melalui kamera CCTV kedai berhampiran pada jam 4 pagi tadi, mereka ternampak kelibat mangsa melintas jeti tersebut menggunakan pakaian merah dan seluar hitam.

"Namun tidak menunjukkan sebarang tanda mangsa keluar semula dari jeti yang mana mangsa juga dikatakan tidak pandai berenang," ujarnya.

Setelah gagal mengesan keberadaan mangsa, keluarga mangsa membuat laporan polis untuk tujuan mencari mangsa.

Dalam pada itu katanya, usaha pencarian di hari pertama ini dilakukan pasukan SAR dengan menggunakan teknik pencarian secara permukaan sekitar kawasan jeti dengan bantuan orang kampung dengan anggaran radius pencarian dua kilometer dari PKB.

Setakat ini katanya, mangsa masih belum dijumpai yang mana operasi pencarian ditangguhkan pada jam 3.15 petang tadi dan akan disambung di hari yang kedua esok.



Next Post Previous Post