Menjerit ketakutan, penumpang dakwa juruterbang naik mengejut elak pesawat di landasan
KUCHING-- Para penumpang dalam penerbangan syarikat tambang murah baharu dari Sibu ke Kuala Lumpur meraung ketakutan dalam satu insiden yang mencemaskan semasa pesawat tersebut hendak melakukan pendaratan di Kuala Lumpur (KLIA) 2 semalam.
Mengulas insiden itu, Pengerusi SUPP Dudong Wong Ching Yong yang menumpang pesawat tersebut berkata, pesawat itu terpaksa membatalkan pendaratan ketika hampir tiba di landasan KLIA 2 kerana terdapat pesawat lain berada di landasan berkenaan.
"Ramai penumpang dalam penerbangan Z98202 menjerit apabila pesawat itu tiba-tiba membuat tujahan menaik pada sudut yang curam dengan enjin mengaum dengan sangat kuat pada ketika menghampiri terminal.
"Saya dan penumpang yang duduk di sebelah saya sangat takut," katanya menerusi kenyataan media malam tadi.
Tambahnya lagi, selang seminit kemudian, kapten mengumumkan bahawa beliau terpaksa membatalkan pendaratan kerana terdapat sebuah kapal terbang di landasan.
"Ia adalah satu pendedahan yang mengejutkan oleh kapten yang meminta maaf dan memaklumkan kepada kami bahawa pesawat itu akan mendarat 10 minit kemudian.
"Kali ini, pesawat itu mendarat di Terminal 2 KLIA tanpa sebarang halangan.
"Namun, penumpang amat tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilalui dan mengadu sesama sendiri semasa keluar dari pesawat.
"Mereka sangat marah dan begitu juga saya," katanya.
Wong berkata ini adalah kali pertama beliau terbang ke KL melalui syarikat tambah murah terbabit yang berlepas dari Lapangan Terbang Sibu pada 3.35 petang dan dijadualkan mendarat pada 5.10 petang dengan perjalanan lancar dan cuaca baik.
Sehubungan itu, beliau yang kerap menggunakan perkhidmatan penerbangan menuntut jawapan dan penjelasan daripada syarikat penerbangan dan menara kawalan tentang apa yang menyebabkan pendaratan itu dibatalkan yang mana ia berisiko boleh meragut nyawa penumpang.
Tegasnya, ini kali pertama beliau mengalami pendaratan yang seumpama itu yang ia dibatalkan kerana terdapat pesawat lain yang masih berada di landasan.
"Siapa yang salah, syarikat penerbangan atau menara kawalan?
"Adakah ia kesilapan manusia atau teknikal atau keadaan cuaca buruk atau faktor lain yang tidak diketahui?" soalnya lagi.
Wong turut menuntut laporan terperinci mengenai jarak antara pesawat di landasan dan pesawat yang menghampiri untuk mendarat apabila kapten memutuskan untuk membatalkan pendaratan.
"Siapa yang memaklumkan juruterbang? Adakah menara kawalan atau sistem amaran automatik pesawat atau juruterbang sendiri melihat pesawat lain di landasan?
"Berapa kerapkah kejadian serupa ini berlaku di lapangan terbang KLIA?," ujarnya.
Selain itu, beliau juga mahu sektor berkaitan mendedahkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi.
Ini tegasnya demi keselamatan penerbangan, orang ramai khususnya penumpang menuntut jawapan dan penjelasan yang jujur daripada kedua-dua pihak iaitu syarikat penerbangan dan menara kawalan.
Setakat berita ini ditulis, pihak syarikat penerbangan belum membuat sebarang kenyataan rasmi.