Masalah cuma disantuni menjelang Pilihan Raya, habis itu semua hilang ingatan...
SRI AMAN— 60 tahun Sarawak Merdeka, meraikan kejayaan demi kejayaan yang bakal ditandai dengan Bendera paling tinggi yang berharga sumbangan sektor swasta.
Begitu kaya Sarawak di mata dunia dengan pendapatan berliun-liun semenjak lima atau enam tahun yang lalu dengan usaha gigih pemimpin Sarawak.
Namun orang-orang kecil di luar bandar masih merasakan bahawa mereka sekadar penonton cerita kejayaan hebat ini.
Rayuan mereka bagaikan mencurah air di daun keladi kecuali menjelang Pilihanraya.
Sabarlah, takkan kahwin hari ini mengandung esok.
Tapi... Mereka sudah menunggu lebih lima dekad. Tahun ini genap 16 September 2023, sudah menopause pun belum ada khabar berita.
“Mereka hanya ratakan jalan yang rosak dua kali. Pertama kali sebelum Pilihan Raya Negeri 2021 dan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum 2022. Kami mahu jalan itu diperbaiki kerana kami sudah bengang berdepan situasi ini.”
Sejak 2018 rakyat di Lubok Antu mendendangkan lagu sedih merayu agar kerajaan membaiki Jalan Ulu Skrang yang rosak dan berbahaya terutama ketika musim hujan.
Khabarnya peruntukan sebanyak RM28 juta disebut-sebut untuk membaik pulih jalan tersebut, namun terkini penduduk kampung pula yang turun menabur batu di bahagian jalan yang berbukit dan licin.
Difahamkan, longgokan batu di KM34 Jalan Ulu Skrang yang terbiar itu dipercayai peninggalan projek terbengkalai?
Ratusan penduduk dari enam rumah panjang hanya mampu berdoa agar dijauhkan daripada malapetaka kemalangan.
Borneo Network diberitahu, penduduk yang menghadapi masalah kerosakan jalan yang kritikal ialah Rumah Bandang, Nanga Pinchoh; Rumah Dau, Ng Entalau; Rumah Iju, Lubok Tabau; Rumah Mengga, Seladong; Rumah Remong, Bergantong dan Rumah Juan, Panchor.
Penduduk tempatan, Setep Panus, berkata laluan yang rosak di sepanjang kira-kira enam kilometer bermula di KM29 hingga KM35 dari simpang utama Ulu Skrang.
“Ketika ini, penduduk kampung termasuk penjawat awam yang bertugas terpaksa mengadai nyawa untuk melalui jalan tanah yang berbukit, licin dan berlubang.
Keadaan jalan ini menyukarkan kami untuk menghantar pesakit terutama kes kecemasan ke hospital. Selain itu menyusahkan guru-guru yang bertugas kerana masa perjalanan yang sepatutnya singkat mengambil masa berjam-jam gara-gara jalan rosak,” katanya kepada Borneo Network.
Memburukkan keadaan, satu-satunya jambatan di Pinchoh kini dalam keadaan senget dan menunggu masa untuk runtuh.
“Selain Pinchoh, laluan di Sungai Tebulus dan Sungai Buak amat memerlukan pembinaan jambatan. Hujan yang berlarutan menyebabkan paras air sungai naik mendadak dan berbahaya dilalui.
Jika kes kecemasan berlaku, penduduk tidak dapat turun ke bandar dengan segera,” katanya.
Ujar beliau, jalan ini juga merupakan jalan utama yang menghubungkan penduduk ke Klinik Kesihatan Nanga Entalau dan Sekolah Rendah Nanga Entalau.
Masalah bermula sejak tahun 2018 dan sudah diajukan kepada wakil rakyat dan agensi kerajaan yang berkaitan.
Katanya, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menaiktaraf Jalan Ulu Skrang ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman
“Kali terakhir jalan diperbaiki itu pun hanya diratakan ialah pada November, sebelum Pilihan Raya Negeri 2021.
Kami sudah mengemukakan aduan kepada wakil rakyat Engkili pada 26 Jun tahun lepas. Sekali lagi mereka datang meratakan jalan tersebut sebelum Pilihan Raya Umum 2022,” katanya.
Beliau amat berharap pihak kerajaan dapat membaik pulih jalan itu termasuk membina jambatan dengan segera memandangkan masalah itu sudah lama membebankan rakyat.