Mangsa perahu karam di Nanga Song ditemui mati lemas
SONG-- Mayat lelaki yang hilang dibawa arus deras selepas perahu panjang yang dinaikinya bersama enam lagi individu karam di Nanga Song ditemui terapung di kawasan Kem Begalak Batang Rajang awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, mayat Gawing Mancha, 47, ditemui terapung pada jam 6.57 pagi tadi kira-kira 5 kilometer dari lokasi perahu yang dinaiki mereka karam.
"Sepasukan anggota BBP Song bergerak ke lokasi kejadian bagi mengangkat mayat mangsa," ujarnya.
Menurut beliau, kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak tiba di lokasi mayat ditemui pada jam 7.19 pagi, lalu dibawa ke Jeti Song dan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Dengan penemuan mayat mangsa ini sekaligus menamatkan usaha SAR di hari yang ke-2 ini pada jam 8.08 pagi tadi.
Pada malam Ahad lalu, mangsa bersama enam lagi saudara beliau dikatakan sedang dalam perjalanan dari Rumah Ekeh Nanga Pan menuju ke Pekan Song.
Setibanya di muara sungai Song, perahu tersebut telah karam.