Malaysia-Indonesia secara prinsip setuju bangunkan sempadan bersama
JAKARTA-- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff memaklumkan bahawa Malaysia dan Indonesia secara prinsip telah bersetuju untuk bekerjasama membangunkan kawasan sempadan.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan Perjanjian Perdagangan Sempadan dan Perjanjian Merentas Sempadan antara Indonesia-Malaysia juga akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Tambahnya, ini bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan antara wilayah Indonesia dengan Malaysia, khususnya Sabah dan Sarawak, serta memudahkan urusan kemasukan tenaga kerja dari Indonesia dalam sektor kelapa sawit di Sarawak.
"Salah satu yang kita bincangkan bersama adalah pembangunan antara sempadan dan insya-Allah Indonesia sudah bersedia dan Malaysia juga sudah bersedia secara prinsipnya telah bersetuju bagaimana kita hendak bangunkan kawasan sempadan itu dengan baik untuk memaafat rakyat di kedua-dua negara," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Kata Fadillah, Sarawak juga kini mengeksport tenaga elektrik yang dihasilkan dari empangan hidroelektrik, ke Kalimantan Barat dan telah diberi peluang untuk membina sebuah empangan hidroelektrik di Kalimantan Timur.
"Di Sarawak kita terlibat secara khususnya kerana kita sudah eksport tenaga elektrik ke Kalimantan dan agensi Sarawak juga telah diberi kepercayaan untuk membina sebuah empangan hidroelektrik di Kalimantan Timur.
"Jadi kita memerlukan kerjasama yang erat dan diharap ia dapat dipermudahkan.
"Maka, urusan kemasukan pekerja Indonesia untuk industri sawit itu akan lebih cepat dan membantu negeri Sarawak secara khususnya kerana pekerja Indonesia merupakan pekerja terbaik dalam bidang kelapa sawit ini," ujarnya.
Difahamkan Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) mengeksport purata 190 hingga 200MW kuasa elektrik kepada utiliti nasional Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN).
Selain itu, penyambungan tenaga dari Sarawak–Kalimantan Barat melalui pautan HVAC rentas sempadan yang menghubungkan dua sistem di pencawang 275kV Mambong di Sarawak ke pencawang 275kV Bengkayang di Kalimantan Barat, melalui talian penghantaran 275kV litar berkembar pada frekuensi sistem 50Hz.
Sarawak Energy memulakan eksport awal tenaga ke Indonesia pada Januari 2016.
Projek itu merupakan salah satu pencapaian paling penting ke arah merealisasikan Grid Kuasa ASEAN, satu inisiatif oleh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik di rantau ini.