Majlis Daerah Betong kerjasama dengan JTS dan NREB banteras buang sampah sebarangan


BETONG: Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dikawasan Jalan Tisak mengundang kemarahan banyak pihak.
Setiausaha Majlis Daerah Betong (MDB), Charlie Keling berkata tanggungjawab ini tidak harus di serahkan kepada satu pihak sahaja bagi mencari penyelesaian yang lebih efektif.
"Kita akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dalam menyelesaikan masalah pembuangan sisa sampah dan longgokan bahan buangan yang lain pada tempat yang bukan sepatutnya.
"Dalam pada itu, kita akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan terbabit bagi membentuk persetujuan bagi menyelesaikan masalah sampah bertaburan yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggung jawab seperti yang berlaku di Jalan Tisak dekat sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan berhubung kejadian longgokan sisa buangan dan pembuangan sampah sarap di Jalan Tisak yang tular di media sosial sejak semalam.
Tambahnya, perkara tersebut telah dimaklumi sebelum pandemik Covid-19 lagi dimana kejadian pembuangan sampah oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
"Namun kita masih berdiam diri disebabkan situasi yang tidak mengizinkan ketika itu. Sehingga semalam, perkara tersebut terus berulang.
"Ini mengundang untuk tindakan yang lebih serius diambil bersama pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian," ujarnya.
Semalam seorang pengguna media sosial Facebook menyuarakan ketidak puasan hati setelah melihat longgokan sampah yang dibuang di jalan tersebut.
"Sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan yang tanpa merasa bersalah membuang sampah amat dikesali.
"Kegiatan tidak bermoral ini telah mencemar alam sekitar dikawasan tersebut selain mengundang bahaya kepada pengguna jalanraya yang mengguna laluan tersebut.

"Mohon pihak berkuasa ambil berat terhadap hal ini kerana pembuangan sampah sarap semakin berluasa di kawasan tersebut bukan sahaja mengakibatkan pencemaran malah mengganggu laluan jalanraya," katanya.
Beliau yang turut dihubungi memberitahu pembuangan sampah dikawasan tersebut telah lama berlaku.
"Sudah tiga tahun berlaku kegiatan membuang sampah dikawasan ini cuma sebelum ini puntung kayu dan sisa sampah dibuang disitu.
"Semalam pembuangan sampah berlaku lagi dengan pelbagai jenis sisa sampah dilonggokkan disitu.
"Keadaan ini bukan sahaja mengakibatkan pencemaran malah mengganggu laluan jalan dengan longgokan dahan kayu serta sisa buangan yang lain," tegasnya.
Next Post Previous Post