Lelaki parah, motosikal bertembung pikap
BETONG-- Seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian belakang dan kaki selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) di Simpang Nanga Ajau, Jalan Ulu Layar petang tadi.
Jurucakap Pasukan Charlie BBP Betong dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima makluman berhubung insiden pada jam 5.15 petang.
Katanya sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang individu berusia 32 tahun dan sebuah 4WD yang dpandu seorang lelaki bersama 4 orang penumpang.
Siasatan awal katanya kemalangan dipercayai berpunca daripada motosikal yang hilang kawalan lalu tercampak ke jalan bertentangan sebelum dilanggar kenderaan 4WD terbabit yang dalam perjalanan dari Ulu Layar ke simpang jalan.
"Akibat dari kemalangan berkenaan, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian belakang dan kaki," ujarnya.
Pemandu dan empat lagi penumpang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," tambah beliau.
Anggota bomba kemudiannya bertindak mengangkat mangsa mangsa yang terbaring di jalan raya dan dihantar ke Hospital Betong dengan menggunakam jentera EMRS untuk tindakan selanjutnya.
Selesai operasi dan keadaan didapati selamat, pasukan Blbomba bertolak balik ke balai.