Lebih 80 tahun menunggu pembangunan, Kampung Kuala Suai diancam hakisan
NIAH — Sudahlah lebih 80 tahun tiada kemudahan asas, Kampung tradisi Kuala Suai yang wujud sejak 1939 berdepan dengan risiko lenyap ditelan laut akibat hakisan laut dan sungai.
Penduduk berharap kerajaan membina benteng pemecah ombak atau tembok penahan, namun jauh panggang dari api. Sedangkan sebelum ini mereka menunggu lebih 77 tahun untuk menikmati kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Suai Yusoff Karta, berkata hakisan itu melanda kampung mereka sejak 1990 tetapi tidak seteruk sekarang.
“Kampung ini terletak berhampiran sungai dan laut. Setiap kali air pasang besar melanda, air sungai melimpah menyebabkan kawasan kampung ditenggelami air setinggi paras lutut.
Setiap malam penduduk kampung tidak dapat tidur lena bimbang rumah dihanyutkan air. Kini penduduk bertambah risau kerana tiang rumah sudah ditenggelami air dan mungkin menunggu masa di dasar laut,” katanya kepada Borneo Network.
Katanya, penduduk kampung pernah mencadangkan pembinaan benteng pemecah ombak beberapa meter memandangkan kawasan terjejas itu di lekukan sungai.
Yusoff berkata, mereka pernah mengajukan masalah itu kepada Ahli Parlimen Bintulu Dato' Seri Tiong King Sing (拿督斯里张庆信) dan agensi kerajaan berkaitan untuk memohon pembinaan tembok penahan atau benteng pemecah ombak.
Namun penduduk kampung dimaklumkan, pembinaan itu menelan kos ratusan ribu dan tidak berbaloi memandangkan kampung itu tidak mempunyai penduduk yang ramai.
“Dulu kampung ini mempunyai ratusan penduduk namun kemiskinan yang membelenggu dan ketiadaan kemudahan menyebabkan mereka mulai berhijrah ke bandar dan kawasan lain.
Hari ini, tinggal 11 rumah dengan 50 orang penduduk. Inilah yang membuat kami tidak puas hati.
Walaupun penduduk tidak ramai, namun apa jua masalah rakyat setempat harus dibantu.
Kami rasa terabai dan terpinggir. Kami memerlukan benteng sebagai langkah penyelesaian jangka panjang terhadap hakisan pantai. Jangan sampai perkara tidak diingini berlaku barulah bertindak,” katanya.
Kampung Kuala Suai merupakan perkampungan nelayan suku kaum Melanau Islam yang bergantung sepenuhnya kepada sumber perikanan selain pertanian.
Beliau kesal kerana kampung yang sudah wujud sebelum negara merdeka dan mempunyai geran tidak mendapat perhatian sewajarnya seperti kawasan lain.
Untuk rekod, tahun lepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Samalaju, Datuk Majang Renggi meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 manakala tahun ini RM500,000 untuk membina jalan Kuala Suai yang dijangka bermula Mac ini.
“Apabila jalan ini siap, saya pasti ramai yang akan balik kampung. Namun apalah guna jika kampung kami terancam.
“Sekiranya kerajaan boleh berbelanja berbilion-bilion ringgit untuk projek mega di Kuching dan bandar lain, mengapa mereka enggan membina benteng tersebut untuk menyelamatkan kampung kami,” katanya.