Kereta rempuh pokok lalu terbalik, pemandu tersepit
KUCHING: Seorang lelaki maut kemalangan selepas kereta jenis Toyota Cross yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok tepi jalan di kawasan Bulatan Hui Sing Garden, awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, mangsa maut dikenali sebagai Ho Ching Siong, 36.
"Sepasukan anggota bomba dari BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 4.49 pagi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan mangsa," ujarnya.
Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah kereta yang melanggar sebatang pokok dan terbalik.
"Pasukan bomba mendapati seorang mangsa masih tersepit pada bahagian kerusi duduk pemandu," ujarnya.
Menurutnya, setelah membuat size up, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah-celah kenderaan dengan menggunakan peralatan haidrolik jenis spreader dengan mengupil pintu di bahagian pemandu.
Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, pasukan KKM yang turut berada di lokasi kejadian melakukan pemeriksaan terhadap mangsa dan mengesahkannya sudah meninggal dunia.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.