Kereta bertembung lori, pemandu kereta maut tersepit
TATAU: Seorang lelaki menemui ajal selepas kereta Perodua Alza yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di kawasan Sungai Bawang, Jalan Sungai Aping pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Bravo BBP Tatau, mangsa maut dikenali sebagai Chendang Umok, 47, beralamat di Taman Tunku Miri.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Tatau bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 8.11 pagi.
Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori.
"Anggota bomba kemudiannya bertindak melakukan operasi berdasarkan konsep saver menggunakan peralatan khas RTA, Power unit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," ujarnya.
Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, pihak bomba menyerahkan mangsa kepada pihak KKM dan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan balik semula ke balai selepas keadaan didapati benar-benar selamat.
Gambar ihsan BBP Tatau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak