Kerajaan meterai 10 memorandum TVET
KUALA LUMPUR— Kerajaan akan memeterai 10 memorandum perjanjian (MoA) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta bagi menambahbaikan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata program kerjasama spesifik bersifat ‘quick win’ itu melibatkan bidang kemahiran automotif, minyak dan gas, hospitaliti dan teknologi penyejukbekuan dan penyamanan udara.
“Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023, kerajaan telah mensasarkan sebanyak 50 MoA bagi tahun ini
“Sebagai permulaan, 10 MoA dengan GLC dan syarikat swasta akan dimuktamadkan bagi pelaksanaan program TVET berimpak tinggi. MoA ini akan bertindak sebagai platform kerjasama induk antara GLC dan syarikat swasta dengan Kerajaan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.
Fadillah berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (PH) yang bertanyakan strategi baharu kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan program TVET.
Katanya, menerusi inisiatif ini, pihak industri dan GLC telah dikenal pasti untuk pembangunan kurikulum dan bahan latihan; sumbangan dan perkongsian peralatan serta kemudahan; sumbangan khidmat kepakaran; dan sumbangan pembiayaan program latihan.
“Kerjasama strategik bersama GLC dan syarikat swasta dengan pihak kerajaan adalah kritikal bagi mengatasi isu-isu seperti penyediaan infrastruktur dan kemudahan latihan, ketidakpadanan kemahiran (mismatch) dan isu pengangguran di kalangan graduan TVET.
Ketika ini sebanyak sejumlah 1,295 buah institusi TVET merangkumi Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) yang sedang beroperasi dengan menawarkan program yang bersesuaian dengan kumpulan sasar yang ditetapkan.
Fadillah menambah, statistik enrolmen bagi tahun 2021 menunjukkan seramai 360 ribu belia berusia antara 15 hingga 24 tahun menyertai program TVET.