Kaut RM80,000 sebulan, empat pegawai imigresen antara dalang seludup warga asing disenarai hitam dari Bintulu, Miri dan Kuching ke Kuala Lumpur
KUCHING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dalam satu operasi yang dilakukan di Bintulu Sarawak.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya dan pegawai operasi JIM Sarawak jam 9.45 malam kelmarin.
"Operasi ini dijalankan pada 17 Februari 2023 jam 09.45 malam oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya dan pegawai-pegawai Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak. Operasi yang dikenali sebagai ‘Ops Kenyalang’ ini dilaksanakan setelah pemerhatian dan risikan yang dilakukan hampir 3 bulan. Serbuan dilakukan di sebuah premis kediaman di bandar Bintulu, " kata Khairul Dzaimee.
Dalam operasi berkenaan, pasukan telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 38 tahun yang dipercayai ketua kepada sindiket berkenaan.
Lelaki ini ditahan ketika menguruskan warga asing ini di rumah penampungan.
Pasukan operasi juga telah berjaya menahan seramai 63 orang warga Indonesia yang terdiri daripada 37 lelaki dan 26 perempuan.
Mereka berumur di antara 22 hingga 52 tahun.
Seramai 30 orang telah ditahan di rumah transit berkenaan.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM25,000 dan Rp3 juta.
Mereka ini merupakan orang yang telah disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan daripada memasuki Malaysia.
Kesemua mereka yang ditahan ini telah mempunyai tiket penerbangan ke Kuala Lumpur.
Sementara itu seramai 33 orang lagi telah ditahan semasa pemeriksaan bas dilakukan di sekitar bandar Bintulu.
Pemeriksaan ini dilakukan terhada dua buah bas yang disyaki membawa warga asing ini berdasarkan maklumat yang di terima.
Dalam operasi yang sama pasukan telah menahan empat (4) orang pegawai imigresen yang disyaki terlibat dengan sindiket berkenaan.
Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengatur pergerakan masuk warga asing yang telah disenaraihitamkan dengan dibantu oleh pegawai imigresen.
Sindiket akan menguruskan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan.
Pegawai imigresen ini akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasinya.
Warga asing yang telah mendapat cap keselamatan ini seterusnya akan di bawa ke rumah-rumah transit yang telah ditetapkan oleh sindiket sebelum mereka ini dibawa ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan juga Lapangan Terbang Bintulu.
Mereka ini akan meneruskan perjalanakan ke semenanjung melalui laluan domestik.
Berdasarkan maklumat awal, sindiket ini telah beroperasi hampir lapan bulan yang lalu iaitu apabila pintu sempadan negara di buka.
Warga asing yang hendak masuk ke Malaysia dikenakan bayaran sekitar RM5000 ke RM6000 seorang kepada sindiket.
Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM80,000 sebulan.
Kesemua warganegara asing ini ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.
Sementara empat (04) pegawai imigresen dan ketua sindiket pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
"Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memburu sindiket yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah Akta yang berkaitan," tegas Khairul Dzaimee.
Gambar kredit Jabatan Imigresen Malaysia