Kanak-kanak jatuh sungai ditemui lemas
KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai terjatuh ke sungai semasa sedang bermain di tepi sungai di Kampung Tambirat pada petang semalam ditemui mati lemas pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, mayat mangsa, Mohamad Nudin Irfan Rahman berusia 8 tahun ditemui orang awam pada jam 11.20 pagi tadi tidak jauh dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya," ujar beliau.
Dengan penemuan mayat mangsa, Bomba menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Dalam kejadian pada jam 4.50 petang semalam, Mohamad dikatakan sedang bermain di tepi sungai sebelum hilang dari pandangan dan dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Gambar PGO Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak