Kakitangan JBALB Sarawak bertungkus-lumus sepanjang malam, Bekalan air Samariang-Santubong pulih berperingkat mulai 10 pagi tadi
KUCHING-- Lembaga Air Kuching (LAK) memaklumkan bahawa kerja-kerja baikpulih pada pintu injap 800mm LAK yang dilakukan pada malam semalam dijangka siap pada jam 10.00 pagi ini.
Berikutan itu, kata LAK dalam kenyataan hari ini, bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat dan agak lama terutama bagi kawasan yang jauh setelah kerja-kerja flushing dilakukan.
"Kepada para pengguna yang kami hormati di sepanjang kawasan Jalan Sultan Tengah, Bandar Baru Semariang, Kampung Rampangi, dan seterusnya kawasan sekitarnya menuju ke Santubong (Kuching), bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat dan agak lama.
"Pihak kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul kepada para pengguna akibat dari gangguan bekalan air ini.
"Kami amat menghargai segala kerjasama serta kesabaran dari anda semua," katanya.
Tambahnya, sementara itu, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan terus mengaktifkan Pusat Pengumpulan Air Berpusat di beberapa kawasan strategik bagi memudahkan para pengguna untuk terus mendapatkan bekalan air bersih.
Lokasinya adalah Bandar Baru Samariang, Taman Putri, Taman Family Park, Rampangi, Pasir Pandak, Pasir Panjang, Sungai Batu, Skim Rampangi, Sg Lumut, Buntal, Taman Sri Permai, Sg. Bedaun, CENTEX dan Santubong.
"Pihak kami dan LAK juga menyediakan 11 buah lori tanker hari ini bagi penghantaran bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas sehingga bekalan air kembali pulih seperti biasa.
"Sila hubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211 bagi sebarang aduan dan pertanyaan," ujarnya.