Jeti purba nelayan Mukah, PNK cakap LSS, LSS ckp MDM - akhirnya Pemuda PBB Tellian gotong-royong baiki.
MUKAH— Jeti nelayan Mukah yang tiada lantai papan sehingga digelar ‘jeti zaman purba’ sudah diperbaiki.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kerja menggantikan lantai jeti yang tercabut itu berjaya disiapkan semalam oleh Pemuda PBB Tellian secara gotong royong.
Beliau berkata, beberapa keping lantai jeti dipercayai tercabut selepas fenomena air pasang besar tahun lepas.
“Saya sudah mengemukakan masalah tersebut kepada Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) kerana ia bawah bidang kuasa mereka, namun dimaklumkan tiada peruntukan.
Justeru saya mengambil inisiatif sendiri membaiki jeti tersebut dengan kerjasama Pemuda Tellian dan komuniti nelayan. Andaian jeti tersebut siap kerana viral di media sosial tidak benar” katanya ketika dihubungi Borneo Network.
Semalam, seorang pengguna media sosial berkongsi gambar menunjukkan beberapa keping lantai kayu jeti tersebut tercabut sehingga menimbulkan kerisauan keselamatan orang awam terutama nelayan yang menggunakan jeti tersebut untuk memunggah hasil tangkapan.
Royston menambah, sudah dua kali jeti tersebut viral di media sosial.
“Kita respond bukan sebab viral. Kita sudah tahu awal cuma prosesnya mengambil masa kerana halangan cuaca dan kekurangan kayu belian bagi menggantikan lantai yang tercabut.
Kerja-kerja membaiki pun dilakukan oleh Pemuda Tellian secara gotong-royong bukan di bawah agensi berkenaan,” katanya.
Menjenguk di ruangan komen, ada yang mencadangkan struktur binaan jeti yang kekal sama sejak 80an diganti dengan konkrit.
Ia bagi menggelakkan masalah berulang selain memudahkan penyelenggaraan.
Tidak kurang juga yang mempersoalkan peranan LSS dalam menyelenggara jeti tersebut.
“Bukankah ada agensi yang bertanggungjawab sepatutnya membaiki jeti tesebut. Kenapa perlu menunggu YB,?” soal netizen.
Tidak kurang yang mencadangkan agar komuniti nelayan mengambil inisiatif sendiri menggantikan lantai jeti setiap kali tercabut tanpa menunggu sehingga keadaan menjadi teruk.
Gambar menunjukkan ahli-ahli Pemuda PBB Tellian sedang bergotong-royong menggantikan lantai papan jeti nelayan Mukah yang tercabut berpunca daripada air pasang besar.