Fadillah terima Anugerah Felo Kehormat AFEO atas kecemerlangannya
KUALA LUMPUR-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof menerima Anugerah Felo Kehormat dari ASEAN Federation Of Engineering Organisations (AFEO) hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Ir. Prof. Dr Norlida Buniyamin dan Setiausaha Agung AFEO, Ir Mohd Khir Muhammad mewakili Pengerusi AFEO, Dr Ir. Danis Hidayat Sumadilaga di pejabatnya di Dewan Parlimen hari ini.
"Alhamdulillah dan terima kasih AFEO atas Anugerah Felo Kehormat yang disampaikan kepada saya, di pejabat saya di Parlimen, petang ini tadi.
"Anugerah ini adalah sebagai mengiktiraf sumbangan saya dalam pembangunan kejuruteraan di rantau ini ketika menjadi Menteri Kanan Kerja Raya sebelum ini," kata Fadillah menerusi hantaran di Facebooknya.
Jelasnya, majlis penyampaian anugerah itu pada asalnya dijadualkan pada Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN ke-39 (CAFEO 39) di Brunei pada November 2021.
Namun, katanya, ia dibatalkan susulan sekatan perjalanan ke luar negara kedua-dua negara disebabkan pandemik COVID-19.
"Hari ini Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Ir. Prof. Dr Norlida Buniyamin dan Setiausaha Agung AFEO, Ir. Haji Mohd Khir Muhammad mewakili Pengerusi AFEO, Dr Ir. Danis Hidayat Sumadilaga, menyampaikan Anugerah Felo Kehormat AFEO kepada saya," ujarnya.
Sementara itu, Norlida dalam kenyataannya hari ini berkata, Anugerah Felo Kehormat itu diberikan kepada Fadillah kerana beliau diakui telah memberikan jasa yang sangat besar dan perkhidmatan cemerlang kepada profesion kejuruteraan bagi negara ASEAN.
"Lembaga Tadbir AFEO pada mesyuaratnya pada 2021, di Brunei telah sebulat suara berkenan mengurniakan Dato Sri Fadillah Yusof sebagai Felo Kehormat.
"Beliau telah dicalonkan oleh IEM untuk anugerah ini atas kapasiti beliau sebagai Menteri Kerja Raya Kanan Malaysia, yang bertanggungjawab untuk perancangan dan pelaksanaan semua projek pembangunan dan infrastruktur di negara.
"Fadillah terlibat secara aktif dan menyokong aktiviti Kejuruteraan intra ASEAN dan merupakan penggalak hebat ASEAN Amalan Terbaik Kejuruteraan dan Mobiliti Kejuruteraan ASEAN," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu IEM mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato Sri Fadillah atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang kejuruteraan dan menyampaikan keyakinan bahawa beliau akan terus menyumbang ke arah penglibatan yang lebih besar dalam kepakaran kejuruteraan ASEAN untuk pembangunan Malaysia serta komuniti ASEAN.