Edar dadah, pasangan rakan sekerja berdepan hukuman gantung sampai mati


MIRI-- Seorang wanita warga asing ditahan bersama rakan lelakinya warga tempatan pada malam Rabu dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Permyjaya kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, semasa melakukan pemeriksaan di dalam premis tersebut, pasukan anggota Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah menjumpai dan merampas pelbagai jenis dadah seperti Ecstasy, Erimin 5 dan Ketamin dengan berat sebanyak 549.43 gram yang dianggarkan bernilai Rm 27,674.50.

Serbuan dilakukan sekitar jam 8.25 malam.

Kedua-dua suspek berusia 20 dan 21 tahun itu kini sedang ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Pihak Polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Next Post Previous Post