Anggota polis cedera dipukul suspek curi kenderaan di Samariang
KUCHING-- Seorang anggota polis yang sedang bertugas menjalankan Op Lejang cedera dipukul oleh suspek curi kenderaan di kawasan Samariang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah yang mengesahkan insiden itu berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.55 malam itu, anggota terbabit cuba menangkap suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun di kawasan tersebut.
"Suspek menyerang anggota semasa diperiksa dalam Op Lejang(kecurian kenderaan)," katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.
Jelas Ahsmon, anggota polis terbabit yang cedera di bahagian muka kini dirawat sebagai pesakit luar.
“Saya akan berikan surat penghargaan pada anggota ini yang bertugas dengan berani dan bersungguh-sungguh bagi membanteras jenayah di daerah Kuching," ujarnya.
Tegasnya, suspek yang berjaya ditangkap itu disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.