Adat menamakan anak di Long Laput satukan empat kaum
MIRI— Selepas lebih 50 tahun adat menamakan anak atau Adet Na Aran Anak dalam bahasa Kayan dihentikan, tradisi itu kembali diadakan di Long Laput, Baram baru-baru ini.
Upacara tersebut diadakan oleh keluarga Temenggong Elizabeth Deng, bagi memberi nama kepada kedua-dua cucunya, Charles Wan Kennedy, 9, dan Kristine Renai Jorden, 4 bulan.
Beliau berkata, upacara ini kerap diadakan penduduk kampung khususnya golongan Kayan bergelar Maren atau Jaya sekitar 70an, namun dihentikan sejak mereka menganut agama Kristian.
Menariknya kali ini, kedua-dua cucu Elizabeth itu adalah hasil perkahwinan campur iaitu Kayan, Kenyah, Cina dan Kadazan.
Gambar sekitar majlis menamakan anak atau Adet Na Aran Anak di Long Laput. Gambar kredit Elizabeth Deng |
Charles Wan merupakan anak kepada Kennedy dengan pasangannya Pearl berbangsa Cina dari Kuala Lumpur; manakala Kristine Renai hasil perkahwinan Karen dan pasangannya Jorden, berbangsa Sino Kadazan dari Sabah.
Elizabeth yang juga Ketua Masyarakat Kayan Bahagian Miri menambah, upacara ini turut disesuaikan mengikut peredaran masa dan kepercayaan.
“Ritual menilik hati babi digantikan dengan upacara sembahyang oleh paderi bagi memberkati anak-anak yang diberi nama Kayan pada majlis tersebut.
Ketua Kaum Robert Luhat Wan berkata, yang dipilih seharusnya nama-nama yg pernah diguna pakai oleh nenek-moyang mereka yang berpengaruh pada zaman hidup mereka.
“Nama seperti Wan misalnya diberikan kepada Charles Kenneddy bagi menghormati dan mengingati moyang bernama Wan, sosok yang terbilang pada zamannya.
Nama ini dipilih dengan harapan watak dan keperibadian yang terbilang ini diwarisi dan dicontohi oleh anak yang diberi nama itu,” katanya.
Selain itu, ibu dan bapa angkat kepada Charles dan Kristine juga dipilih dari latar belakang keluarga yang baik.
Nama yang dipilih kemudian diumumkan di hadapan khalayak ramai ketika pasangan suami isteri dan anak mereka duduk di atas gong.
Satu lagi keunikan majlis ini ialah sebuah perahu yang dihias indah penuh dengan nasi bungkus dan bungkusan daging yang dicucuk dengan rotan dipanggil ’Ti’au’ diusung oleh beberapa pemuda di sepanjang rumah panjang dan rumah berhampiran.
“Bungkusan makanan itu diagihkan kepada setiap keluarga (pintu) bagi menandakan upacara itu sudah diadakan,” kata Robert.
Upacara tersebut dihadiri kira-kira 350 tetamu terdiri daripada penduduk kampung dan tetamu dari Uma Akeh dan Long Lama.