Wanita berkongsi detik cemas suami cuba selamat mangsa kemalangan



KUCHING-- Kisah kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seorang guru di Sibu Jaya selepas kereta dinaikinya bersama isteri terbabas lalu terbalik dalam parit baru-baru ini mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan warga pendidik tetapi seluruh masyarakat.

Dalam kejadian ini, orang awam yang berada di lokasi kemalangan tidak berat tangan, malahan bertindak pantas membantu mengeluarkan pasangan guru berkenaan dari kereta.

Berkongsi kisah ini, Iris Maria dalam hantaran Facebooknya memberitahu, semasa hari kejadian dia dan suami bersama anaknya baru keluar dari rumah sekitar jam 6 pagi.

"Beberapa minit di lampu isyarat Kemuyang, saya ketika itu sedang membaca pesanan dalam telefon yang belum dibaca dari malam tadi tiba-tiba suami berkata kereta yang kita lihat tadi masuk dalam parit.

"Saya tidak mahu berasa salah seumur hidup jika tidak menolong lalu menukar lampu isyarat kereta untuk buat pusingan-U.

"Apa yang kesal saya ini jenis yang 'lemah tulang'  apabila melihat kejadian sebegini dan saya melihat jam pada masa itu sekitar 6.15 pagi.

"Kereta (pasangan guru) sudah terapung dan mula tenggelam dalam parti berkenaan. Tiba di lokasi sudah ada dua orang di situ seorang lelaki berbaju jingga (James) dan seorang rakan kepada guru terbabit," katanya.

Tambahnya, rakan guru berkenaan meminta tolong dan memohon membantu mengeluarkan pasangan terbabit dalam kereta.

Katanya lagi, tanpa memikir panjang James dan suaminya terjun ke parit berkenaan untuk membantu mengeluarkan pasangan guru terbabit.

"Mereka bergilir membantu membuku pintu kereta mangsa dan pada masa yang sama apa yang terlintas difikiran adalah mencari nombor Balai Polis.

"Dalam jari terketar-ketar menekan telefon akhirnya jumpa nombor Balai Polis Sibu Jaya sekitar jam 6.17 pagi.

"Saya terus hubungi nombor tersebut untuk memaklumkan kemalangan ini," jelasnya sambil memberitahu dia kemudian menghubungi bomba untuk membantu.

Semasa kejadian juga, katanya jalan tersebut agak sunyi dan tiada kereta yang lalu-lalang di kawasan berkenaan pada masa tersebut.

Bagaimanapun, kata Maria berkata, ada seorang anggota tentera tiba di lokasi kemalangan dan telah memintanya untuk membantu mengeluarkan mangsa.

"Anggota tentera itu terus mengeluarkan sepana untuk digunakan memecah cermin kereta mangsa.

"Saya kemudian pergi buka bonet kereta untuk mencari besi yang boleh dipakai memecahkan cermin tersebut dan anak menghulurkan batang besi dalam kereta kami untuk digunakan," ujarnya.

Dalam suasana bergelut untuk membantu, katanya, cermin kereta mangsa akhirnya berjaya dipecahkan dan pasangan berkenaan berjaya dikeluarkan.

"Guru lelaki tiba di tebing parit dalam keadaan tidak sedarkan diri lagi kemudian terus dibantu oleh anggota tentera berkenaan yang turut membuat bantuan kecemasan pernafasan, resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas mangsa. 

"Rakan guru, Cikgu Pija memberi bantuan CPR kepada mangsa (guru wanita) yang mana saya lihat begitu dalam semangat setiakawan antara guru berkenaan.

"Guru wanita berkenaan akhirnya sedar dan dapat bercakap dan soalan pertama keluar dari guru wanita itu adalah bagaimana keadaan suaminya dalam keadaan menangis," jelasnya.

Kata Maria, dia melihat suami mangsa masih belum sedarkan diri dan anggota tentera berusaha memberi CPR kepada mangsa.

"Pasangan guru berkenaan dikeluarkan sekitar jam 6.26 pagi. 15 minit mereka tenggelam dalam parit berkenaan. Mengikut cerita isteri mangsa suaminya mereka bergelut mencari udara untuk bernafas ketika dalam kereta terbabit.

"Kata isteri guru berkenaan suaminya sudah dua kali menghembuskan nafas dalam air dan dia sendiri tidak menjangka dirinya masih hidup kerana kereta dipenuhi air," kata Maria.

Mengikut kenyataan mangsa, katanya, kereta pasangan guru terbabit terbabas masuk ke dalam parti kerana dikatakan menggelak motosikal yang tidak mempunyai lampu belakang.

"Semua kejadian ini memang satu kebetulan, kebetulan pada hari itu kami terlambat, kebetulan suami (Watt Rock) batal persembahan dan saya pada sebelah malamnya demam dan saya turun kerja pakai baju yang belum digosok.

"Semua ini satu kebetulan dan ketentuan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu," ujarnya.

Next Post Previous Post