Ular sawa batik jatuh dari bumbung
MIRI--Seekor ular sawa batik seberat 8kg dan sepanjang tiga meter yang terjatuh dari bumbung sebuah rumah di Kampung Pasir Lutong pada malam Ahad, mengejutkan seramai 4 penghuninya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Reptilia itu kemudiannya berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Miri (APM) yang datang setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 11.09 malam tadi.
Menurutu pegawai APM Miri Lt(PA) Mirwan Shah Masri, seramai 4 anggotanya telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan mengenai kejadian.
"Pengadu perempuan dewasa berumur 32 tahun mengatakan semasa suami beliau berjalan menuju ke tandas rumahnya terkejut apabila melihat ular jatuh dari bumbung rumah dan ular tersebut lalu bersembunyi dibawah kotak,"ujarnya.
Difahamkan, beberapa hari sebelum kejadian, pengadu ada mendengar bunyi ganjil di atas bumbung rumahnya, namun beranggap ia hanyalah suara tikus.
Mirwan berkata, usaha menangkap ular itu dengan menggunakan penjerut ular mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum haiwan berkenaan dilepaskan semula ke habitat asal.
Gambar ihsan APM MIRI