Tiga individu naiki van milik Imigresen terlibat kemalangan di Jalan Kunak
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 11.42 tengah hari dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak ke lokasi.
"Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rasah Kaluang melaporkan kemalangan melibatkan sebuah van jenis Toyota milik Imigresen telah terbabas sendiri ke bahu jalan.
"Terdapat tiga mangsa yang berada di dalam van tersebut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pasukan Bomba menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan.
Jelasnya, dua daripada mangsa terlibat mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan jentera EMRS.
Operasi ditamatkan pada jam 12.58 tengah hari.