Tak perlu naik feri lagi hujung 2024, Jambatan Batang Saribas sudah 60.93 peratus siap


KUCHING-- Penduduk terutamanya di Parlimen Batang Lupar tidak akan lagi perlu menggunakan perkhidmatan feri apabila Jambatan Batang Saribas dijangka siap sepenuhnya pada 15 Ogos 2024. 

Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shahfizan Kepli berkata, pembinaan jambatan yang menghubungkan jalan pesisir, Pusa-Beladin itu kini sudah mencapai tahap 60.93 peratus siap.

"Kemajuan mengenai jambatan ini telah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu mesyuarat bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 9 Januari lepas.

“Dalam mesyuarat bersama Timbalan Premier Sarawak itu, pihak JKR telah membentangkan laporan kemajuan jambatan ini siap 60.93 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Ogos 2024,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang dimuatnaik pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad Shahfizan memberitahu, kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan kini sedang rancak dilaksanakan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pembinaan Jambatan Batang Saribas menelan kos RM375.5 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Tambahnya, jambatan itu mula dibina pada 3 Jun 2019 dan pelaksanaannya mengalami penangguhan susulan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, katanya kerja-kerja pembinaan kini kembali giat dilaksanakan. 

"Apabila siapnya jambatan itu kelak, ia akan memendekkan masa perjalanan tanpa menggunakan perkhidmatan feri lagi," ujarnya.

Next Post Previous Post