|
Gambar kredit EPA |
YAN, 2 Jan (Bernama) -- Polis merampas dadah jenis ganja
dengan anggaran bernilai hampir RM500,000, yang ditemukan terapung di satu tali
air di Kampung Makau di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata
sebanyak 158 ketulan mampat ganja seberat 180.17 kilogram itu, ditemui terapung
oleh penduduk yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 9.35 pagi.
“Pihak polis menerima panggilan orang awam berhubung
penemuan dadah yang dibalut plastik lutsinar dan foil berwarna emas terapung di
sekitar kawasan tali air itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dadah tersebut diletakkan di
dalam guni, namun terkoyak menyebabkan ia terapung di permukaan air,” katanya
pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan sini hari ini.
Shahnaz berkata siasatan awal mendapati dipercayai kegiatan
sindiket itu dilakukan pada awal pagi, bagi mengelak daripada dikesan penduduk
dan pihak berkuasa manakala dadah yang dirampas itu disyaki untuk pasaran luar
dari negeri Kedah.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan, namun pihak kami
akan terus menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik penemuan
dadah berkenaan. Kemungkinan juga lokasi tersebut dijadikan sebagai transit
sebelum ia dibawa ke tempat lain,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan kerjasama
dengan melibatkan penyertaan masyarakat setempat dalam usaha memastikan
aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah dapat dikekang sebaik
mungkin.