Peruntukan Khas TPM Kerajaan Perpaduan untuk baiki 9 balai Kuching dan naik taraf tiga balai daif di Song, Julau, Daro


KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof setuju menyalurkan di bawah Peruntukan Khas Kerajaan Perpaduan TPM untuk membaik pulih sembilan balai polis di Kuching dan tiga balai daif di Song, Julau dan Daro.

Jelasnya, peruntukan khas itu akan disalurkan secepat mungkin untuk membolehkan kerja-kerja menambah baik kemudahan di balai-balai berkenaan dapat dijalankan segera.

"Saya telah bersetuju untuk memberi peruntukan di bawah peruntukan khas TPM daripada kerajaan persekutuan untuk disalurkan dan diharapkan dapat menambah baik segala keadaan fizikal dan kemudahan balai polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak ini.

"Di Kuching keseluruhannya ada sembilan balai yang perlu ditambah baik dan tiga lagi balai daif di Song, Julau dan Daro.


"Semua peruntukan ini yang dapat diberikan di bawah peruntukan khas saya tadi saya akan salurkan kepada polis untuk pelaksanaan secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di IPK Sarawak di sini hari ini.

Selain itu, Fadillah memberitahu, keperluan menaik taraf infrastruktur yang diperlukan polis di Sarawak dan Sabah juga akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN. 

Sebab itu, katanya beliau mengadakan lawatan kerja rasmi di IPK Sarawak bagi melihat dan mendengar sendiri keperluan yang diperlukan oleh anggota keselamatan di negeri ini.

"Saya telah diamanahkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat pembangunan infra di Sabah dan Sarawak.

"Sebab itu saya datang untuk melihat sendiri dan mendapatkan taklimat daripada Kontinjen Polis Sarawak apa yang perlu kita lakukan untuk kita tambah baik segala keperluan khususnya di luar bandar di mana keadaannya agak daif bukan sahaja balainya, kuatersnya dan kemudahan-kemudahan yang amat kurang tetapi dalam masa yang sama polis dapat memberi khidmat yang terbaik dalam keadaan kekurangan tersebut.

"Untuk itu saya akan beri tumpuan apabila balik ke Kuala Lumpur nanti untuk dibincangkan dan akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan dan KDN untuk melihat apa perancangan untuk kita tambah baik kemudahan untuk anggota-anggota kita di Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Tambahnya, ini penting bagi menambah baik moral anggota polis di Sabah dan Sarawak dalam berkhidmat dan menjaga keselamatan dan kesejahteraan setiap lapisan masyarakat.

"Kita mahu memberi keadilan dan memberi yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat kita apatah lagi anggota keselamatan kita yang telah berkhidmat dengan cukup baik dalam menjaga keselamatan dan ksejahteraan negara kita," ujarnya.
Next Post Previous Post