Penduduk Long Ikang perlukan RM25 juta atasi hakisan, semoga ada CSR


BARAM — Masalah hakisan tebing Sungai Baram yang semakin kritikal terus menghantui penduduk kampung di Long Ikang, dekat sini.

Menurut penduduk kampung, hakisan yang berlaku sejak lebih lima tahun itu kini bertambah buruk.

Tinjauan mendapati, halaman rumah konkrit retak dan merekah, manakala sebahagian rumah tidak lagi mempunyai halaman akibat hakisan.

Limpahan sungai terutama pada musim hujan menghakis kawasan tebing menyebabkan jarak sungai dengan rumah panjang semakin hampir.

Sebahagian hakisan sudah sampai di bawah tangga rumah.

Penduduk kini ketakutan rumah mereka roboh dan dihanyutkan oleh arus deras Sungai Baram pada bila- bila masa.

Penduduk kampung, Peter Kallang berkata, masalah ini sudah beberapa kali dikemukakan kepada wakil rakyat, namun masih tiada tindakan sewajarnya.

“Respon yang diterima mengecewakan seolah-olah mereka tidak serius dalam menangani masalah yang sekian lama membelenggu rakyat.

Penduduk hanya mahu tahu status permohonan dan langkah seterusnya untuk mengatasi masalah tersebut," katanya kepada Borneo Network semalam.

Tambahnya, Sarawak mempunyai banyak sumber dan kemahiran, justeru itu tidak perlu bergantung dengan kerajaan persekutuan.

Difahamkan, permohonan bagi pembinaan benteng hakisan yang dianggarkan bernilai RM25 juta sudahpun dihantar ke Kuching untuk dipertimbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, masalah hakisan bukan hanya berlaku di Long Ikang.

"Ramai lagi penduduk kampung di Baram menghadapi masalah yang sama.

Namun kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan masalah ini bersendirian. Banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakan. 

Kerajaan persekutuan mesti membantu kita. Inilah masa terbaik di bawah kerajaan baharu," katanya.
Next Post Previous Post