Pendekar seluruh dunia berkampung di Kuching mulai 27 Februari ini
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Seramai 800 pesilat daripada 16 negara bakal beraksi pada Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Kuching pada 27 Feb hingga 5 Mac depan.
Primier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak bersedia menganjurkan kejuaraan sulung berkelas dunia itu selain menerima kehadiran ribuan pencinta silat dunia.
“Malah, persiapan dari segi logistik juga kini berada pada tahap terbaik menjelang kejuaraan bertaraf premier ini.
“Sambutan bagi edisi sulung ini amat baik apabila negara seperti Indonesia, Singapura dan United Kingdom akan turut serta menghangatkan bandar Kuching sepanjang seminggu penganjuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan President Rumpun Silat Sarawak (RSS) berkata kejohanan berkenaan merupakan penanda aras dan perintis untuk RRS menganjurkan kejohanan siri silat Sarawak pada masa akan datang.
Katanya RSS komited memastikan perjalanan kejohanan terbabit dijayakan dengan cemerlang.
“Kami tidak mahu menjadikan kejohanan ini sebagai ‘one-off’ sahaja, sebaliknya berhasrat mencipta sejarah kerana Malaysia belum pernah menganjurkan kejohanan seperti itu.
“Saya berharap para pesilat dapat mempamerkan aksi berkelas dunia serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi seiring dengan nilai yang dimiliki oleh seorang pesilat,” katanya.
Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 (RM87,510) bagi juara keseluruhan selain tali pinggang kejuaraan diperkenalkan buat pertama kali bagi juara keseluruhan.
-- BERNAMA