PDRM buru lelaki samun guna senapang di Kampung Segong Bau

 


BAU-- Polis mengesahkan kejadian samun menggunakan senapang patah dipercayai buatan sendiri yang dilaporkan berlaku di Kampung Segong di sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, dalam kejadian yang dilaporkan sekitar jam 7.10 malam itu melibatkan dua mangsa lelaki berusia 25 dan 28 tahun. 

"Siasatan awal dari mangsa (mangsa pertama berusia 25 tahun) mengatakan semasa dia sedang berada di rumahnya tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam rumah dan terus mengacukan selaras senapang patah ke dada mangsa untuk meminta duit dan menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek. 

"Akibat pergelutan, suspek telah terjatuh dan mangsa melarikan diri ke rumah saudaranya untuk meminta tolong," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Jelasnya lagi, suspek kemudian melarikan diri ke arah jalan raya dan menahan serta mengacukan senapang patah kepada seorang lelaki (mangsa kedua berusia 28 tahun) yang sedang menunggang motosikal dan menyebabkan motosikal yang ditunggang hilang kawalan. 

"Lelaki tersebut menyelamatkan diri dan suspek telah menaiki motosikal melarikan diri," katanya. 

Selain itu, Poge berkata, polis turut menjumpai selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri dan sebutir peluru 12 bore yang ditinggalkan suspek di tepi jalan. 

"Anggaran kerugian mangsa adalah kehilangan sebuah motosikal Yamaha Y15 warna kelabu anggaran RM12,000 dan sebuah telefon bimbit jenis Oppo anggaran RM400.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971," ujarnya. 

Sehubungan itu, tegas Poge, sepasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Bau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah digerakkan bagi mengesan suspek.

"Pihak polis minta orang ramai turut mengesan motorsikal jenis Yamaha Y15 berwarna kelabu nombor pendaftaran QCK 4219, jika dijumpai mohon hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bau ASP Francis di talian 012-7100711," jelasnya.

Next Post Previous Post