Masih tunggu kelulusan Kerajaan Sarawak untuk naik taraf pasar Sungai Maong, Batu 7 dan Batu 10
Kredit gambar Lo Khere Chiang |
KUCHING-- Projek menaik taraf tiga pasar di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) masih menunggu kelulusan daripada kerajaan.
Pengerusinya, Lo Khere Chiang berkata, tiga pasar yang terlibat adalah Pasar Sungai Maong, Pasar Batu 7 dan Pasar Batu 10.
"MPP masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Sarawak bagi pelaksanaan pembangunan untuk menaik taraf tiga pasar tersebut.
"Surat permohonan juga telah dikemukakan kepada Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dan kini hanya menunggu keputusan kerajaan Sarawak untuk mendapat maklum balas positif," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini hari ini.
Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang menjelaskan, kos yang diperlukan untuk menaik taraf ketiga-tiga pasar itu dianggarkan berjumlah dari RM10 juta hingga RM20 juta.
Kredit gambar Lo Khere Chiang |
"Kita jangkakan proses permohonan itu bakal mengambil masa bagi perancangan teliti memandangkan ketiga-tiga kawasan itu sangat sesak serta banyak perkara lain yang mahu dipertingkatkan," tambahnya.
Pada majlis rumah terbuka itu, Lo menerima kunjungan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bersama rombongan.