Lagi bot nelayan tempatan ceroboh di luar zon dibenarkan

Gambar APMM Bintulu

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu bertindak menahan sebuah lagi bot nelayan tempatan yang sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar zon yang dibenarkan pada jarak sembilan batu nautika dari Kuala Balingian sekitar jam 11.54 pagi, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan ini dilakukan berdasarkan kepada aduan orang awam yang mana masih terdapat bot nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai.

Adalah difahamkan pada dua hari lepas, pasukan APMM turut menahan sebuah bot nelayan tempatan atas kesalahan yang sama.

"Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Bintulu tidak akan berkompromi ke atas kesalahan yang memberi kesan amat besar kepada ekosistem pantai dan kelestarian hidupan laut terutama di kawasan pesisir pantai," tegasnya.

Gambar APMM Bintulu


Maritim Malaysia katanya akan terus membanteras aktiviti seperti ini sehingga semua individu atau kelompok yang terlibat akan memahami dan memandang serius atas perkara ini.

Hasil penggeledahan ujarnya mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan enam orang kru yang mana kesemuanya adalah warga tempatan. Kesemua kru yang ditahan berumur dalam lingkungan 38 hingga 64 tahun. 

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, syarat dalam buku lesen menetapkan kawasan yang dibenarkan untuk menangkap ikan adalah 12 batu nautika daripada pantai," ujar Mohd.

Turut dirampas katanya hasil laut seperti ikan campur dan udang berjumlah lebih kurang 200 kilogram yang dipercayai baru ditangkap manakala bot dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai setengah juta turut dirampas.

 Kesemua kru beserta bot nelayan ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Next Post Previous Post