Kurang 63,000 pekerja, sektor perladangan rugi RM20 billion



KUCHING-- Sektor Agrikomoditi terutamanya dalam perladangan sawit masih memerlukan 63,000 tenaga kerja asing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof 

Jelasnya, kekurangan tenaga kerja ini telah menyebabkan produktiviti hasil kelapa sawit terjejas dengan teruk dan negara mengalami kehilangan hasil pendapatan yang dianggarkan berjumlah RM20 bilion pada tahun 2022.

"Saya difahamkan juga bagi tahun 2022, Sektor Agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM268.1 bilion. 

"Manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM146.5 bilion," katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu hari ini. 

Kata Fadillah, pendapatan eksport produk agrikomoditi pula adalah sebanyak RM207.3 bilion atau 13.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. 

Jelasnya, walaupun ada penurunan sedikit iaitu 1.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, Kementerian masih meletakkan keyakinan tinggi bahawa prestasi perdagangan ini akan kekal positif bagi tahun 2023.

Mengulas lanjut tentang isu kekurangan tenaga kerja asing itu, beliau berkata kerajaan telah bersetuju untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0. 

Di samping itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan dengan negara sumber bagi mempastikan kemasukan pekerja asing ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Next Post Previous Post