Ketirisan dan penyelewengan pengurusan dana kian serius?



KUALA LUMPUR-- Lebih 100 syarikat telah disiasat melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM194 juta.

Sehingga hari ini seramai 34 pemilik atau pengarah syarikat telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketirisan dan penyelewengan pengurusan dana kian serius.

Katanya, nilai integriti dilihat semakin pudar dalam kalangan segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membantu kerajaan menerusi penyaluran dana atau bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan.

"Misalnya, hasil kerjasama antara SPRM dan agensi serta kementerian terlibat menerusi operasi khas sepanjang tahun 2022, seramai 133 individu yang terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat telah ditangkap, " katanya dalam kenyataan yang disiarkan laman sesawang SPRM hari ini.

Tambahnya, kerajaan mewujudkan dana seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Tidak cukup, kerajaan memperkenalkan dana, pinjaman, moratorium, latihan kemahiran, bantuan kewangan khas dan sebagainya bertujuan untuk membantu rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Ia bertujuan membantu rakyat yang terkesan dek tekanan ekonomi sepanjang pandemik Covid-19 malah mampu meningkatkan kemahiran serta potensi diri.

"Rakyat terbeban kehilangan pekerjaan, pengangguran, masalah perniagaan malahan ada sehingga terpaksa ditutup kerana keadaan ekonomi secara umumnya tidak berkembang seperti biasa.

Namun apa yang terjadi? 

Wujud segolongan individu, syarikat dan pertubuhan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan atas hak dan kesengsaraan rakyat yang terkesan.

Mereka ini secara terang-terangan mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan- tuntutan palsu bagi memperoleh dana-dana yang disediakan oleh kerajaan untuk kekayaan sendiri," kata Ahmad Khusairi.

Ujarnya, bantuan yang sepatutnya diterima golongan sasaran telah dirembat 'buaya-buaya' ekonomi dari skala kecil dan sederhana.

"Nilai integriti semakin pudar dan tamak haloba menjadi budaya.

Kesannya, golongan pekerja dibuang, mahasiswa menganggur, peniaga-peniaga terpaksa menutup perniagaan yang sepatutnya menerima faedah serta bantuan, dipinggirkan begitu sahaja," kata Ahmad Khusairi.

Tambah beliau, terlalu banyak kelemahan yang berlaku hingga mewujudkan ruang dan peluang penyelewengan.

SPRM menggariskan kelemahan iaitu dari segi proses semakan terhadap ketulenan maklumat yang dikemukakan pemohon (individu, syarikat, pertubuhan). 

"Ini menyebabkan ada beberapa syarikat yang dimiliki orang sama membuat tuntutan.

Selain itu, tiada peraturan dan undang-undang jelas untuk diambil tindakan terhadap pemohon seperti senarai hitam, saman sivil dan tuntutan semula dana yang tidak dibelanjakan," katanya.

Di samping itu, tiada mekanisme jelas untuk memantau program atau aktiviti yang sedang dijalankan untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan dengan jumlah peserta yang tepat. 

"Agensi hanya bergantung kepada laporan program atau aktiviti yang dikemukakan pemohon.

Selain itu, isu darurat (kecemasan) digunakan sebagai alasan untuk tidak membuat due diligence terhadap pemohon dengan alasan jika terlalu tegar ia dijadikan alasan karenah birokrasi.

"Kerajaan harus membetulkan bentuk ketirisan pada masa ini. 

Tiada guna dasar yang cantik tetapi pelaksanaan yang gagal," katanya.

Ahmad Khusairi berkata, perlunya agensi-agensi yang disalurkan dana ini dipantau. 

Katanya, impak atau dapatan kepada program bantuan itu harus dijadikan Key Peformance Indicator (KPI) bukannya terhadap berapa ramai yang telah menerima bantuan/dana atau berapa peratusan bantuan / dana (kewangan) yang telah disalurkan? 

Tegasnya, SPRM melihat isu penyelewengan dan ketirisan dana atau bantuan seumpama ini sebagai isu yang penting. 

"Tahun ini SPRM akan memberikan tumpuan terhadap isu ketirisan dan penyelewengan dana ini termasuk dalam sektor sumber manusia, kebajikan, automotif, pendidikan dan pengajian tinggi, penternakan, pertanian serta perladangan," katanya.

Next Post Previous Post