Kereta terjunam ke dalam gaung di Jalan Puncak Borneo, dua selamat


KUCHING-- Sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dan wanita terjunam ke dalam gaung selepas hilang kawalan di jalan utama Kampung Karu, Jalan Puncak Borneo malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang selamat dikenali sebagai Erni Felicia John berusia 19 tahun dan Johnnesson Jiram  Talip, 23, masing-masing cedera di muka dan patah bahu kanan.
Jelasnya, bomba menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 8.56 malam dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi.

"Tiba di lokasi mendapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Produa Axia berwarna putih dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung sedalam 20 meter daripada jalan utama.
"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai lokasi.

"Kedua-dua mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal oleh unit EMRS sebelum diusung oleh anggota bomba dengan menggunakan stretcher ke kawasan yang selamat," katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah bomba, mangsa lelaki mengalami kecederaan patah bahu kanan manakala seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian muka.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa seterusnya dibawa dan dihantar ke hospitaI dengan menggunakan EMRS Bomba.

Setelah keadaan terkawal dan selamat pasukan bomba berangkat balik ke balai.


Next Post Previous Post