Jambatan viral Long San sudah diperbaiki
BARAM— Jambatan rosak di Long San, Hulu Baram yang viral awal minggu ini sudah diperbaiki dan boleh dilalui orang ramai.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Sarawak) Dato Gerawat Gala berkata, beliau telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Samling memperbaiki jambatan itu sebaik sahaja kerosakan itu dikongsikan di media sosial.
“Saya gembira memaklumkan jambatan itu sudah dapat digunakan sejak kelmarin semalam. Kerja-kerja membaiki terus dilaksanakan walaupun dalam tempoh cuti Tahun Baharu Cina.
Saya mewakili komuniti Baram bersyukur kepada JKR Miri dan Samling di atas tindakan pantas mereka untuk membaiki jambatan yang rosak dalam menjamin keselamatan pengguna,” kata Gerawat dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.
Awal minggu ini, pengguna Facebook memuat naik gambar sebahagian Jambatan Long San yang retak, sehingga menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai akan keselamatan penduduk yang melalui jambatan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu menambah, jambatan tersebut milik Samling dan dibawah selenggaraan mereka.
Dalam pada itu Gerawat menggesa JKR, agensi kerajaan dan Samling bermesyuarat untuk mengenalpasti jalan balak termasuk sembilan jambatan utama di Hulu Baram yang perlu diperbaiki dan diselenggara.
“Bagi jambatan yang sudah usang dan berisiko digunakan dalam jangka masa panjang, saya cadangkan pembinaan jambatan baharu.
JKR juga diminta menyusun dan memetakan jalan balak dan jambatan terbiar ke beberapa rumah panjang yang tidak lagi digunakan dan diselenggara oleh syarikat pembalakan.
Maklumat ini penting untuk pembaikan dan taraf pada masa hadapan,” katanya.