Gara-gara tidak tahan bunyi bising, pemuda serang rakan sekerja guna kayu direman 4 hari
MIRI--Seorang pemuda direman empat hari bermula hari ini susulan kejadian menyerang kawan bilik sebelah menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah kongsi pekerja di Taman Tunku malam Khamis.
Suspek, berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siastaan Jenayah Miri (JSJ) sekitar jam 1.20 pagi tadi (Jumaat), selepas dimaklumkan mengenai kejadian oleh mangsa.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 9.30 malam itu (Khamis), suspek dikatakan menyerang mangsa yang berusia 49 tahun yang juga rakan sekerjanya dengan sebatang kayu kerana tidak berpuas hati mangsa membuat bising sehingga menganggu masa rehatnya.
Perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Magistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi hari ini (Jumaat) bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata dijalankan.
Turut hadir ke Komplek Mahkamah Miri adalah pegawai penyiasat kes Sub-Inspektor Ramping Jimbai, manakala suspek tidak diwakili peguam.