Enam anggota polis terlibat dadah ditahan di Sarawak

 



KUCHING-- Enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah sepanjang tempoh 1 Januari 2022 hingga 2 Januari 2023.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah itu, empat daripadanya telah didakwa di mahkamah manakala dua tidak tindakan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

"Seorang daripada jumlah tersebut telah didakwa di mahkamah semalam di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, hasil tangkapan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 2 Januari lalu," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Sementara yang lain, katanya ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, seorang anggota polis berpangkat rendah didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar kira-kira 5.6 kilogram dadah jenis kanabis. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Aizat Danial Noor Azman, 30, sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Syarifah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Februari depan sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes disiapkan.

Tertuduh dalam pada itu ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo. 

Berdasarkan fakta kes, anggota polis itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 2 Januari lalu, kira-kira jam 10.10 malam di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini. 

Difahamkan, tertuduh dilaporkan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur pada malam kejadian.

Tertuduh yang membawa sebuah bagasi dan sebuah beg galas dikatakan ditahan oleh Pegawai Kastam Cawangan Khas Pemeriksaan Penumpang LTAK setelah melalui pemeriksaan mesin pengimbas.

Hasil pemeriksaan rapi mendapati tertuduh membawa sejumlah 20 botol cecair yang merupakan campuran jus dan dadah jenis kanabis. 

Jumlah berat kasar cecair disyaki dadah tersebut adalah 5.6 kilogram. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) James Ho manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Next Post Previous Post