Eksport tenaga diperbaharui dan perdagangan karbon, Abang Jo sertai rombongan Anwar Ibrahim ke Singapura
Gambar ihsan Pejabat Premier Sarawak |
Abang Johari terbang ke Singapura tengah hari semalam dari Lapangan Terbang Bintulu untuk menyertai rombongan Perdana Menteri yang merupakan lawatan rasmi pertama ke Pulau Republik itu selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10.
Sejurus sahaja tiba di situ, Anwar mempengerusikan mesyuarat pra majlis dengan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk membincangkan perkara dua hala yang akan dibangkitkan semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pagi ini.
Abang Johari turut hadir pada mesyuarat itu untuk memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai perkara berkaitan kerjasama ekonomi antara Sarawak dan Singapura, khususnya mengenai eksport tenaga boleh diperbaharui dan perdagangan karbon.
Selepas itu Premier Sarawak menyertai Perdana Menteri bertemu Presiden Singapura Halimah Yacob.
Pada sebelah petang pula, Premier Sarawak antara pemimpin-pemimpin Malaysia yang lain, dijadualkan bertemu rakyat Malaysia di republik itu pada jamuan minum petang yang dianjurkan oleh Perdana Menteri di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, perdana menteri melawat republik itu atas jemputan Perdana Menteri Lee.
Anggota lain delegasi Perdana Menteri termasuk Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Luar Datuk Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan pegawai dari kementerian dan agensi berkaitan.
Premier Sarawak dijadualkan pulang ke Sarawak lewat petang ini dan singgah di Bintulu bagi menghadiri majlis makan malam ulang tahun ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju.