Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa.
Mohd Arifin, 32, berkata pada mulanya dia enggan menerimanya, namun anak sulungnya itu berkeras tetap mahu memberikan kepadanya dengan alasan boleh digunakan ketika mereka bercuti nanti.
Selain pemberian itu, tiada perubahan sikap yang berlaku terhadap anaknya itu, cuma kanak-kanak itu meminta untuk menaiki kereta Perodua Myvi yang sama dengan sepupu mereka.
“Selama ini kami sekeluarga tidak pernah menaiki kereta berasingan ketika bercuti, namun kali ini anak saya itu mahu menaiki kereta Myvi bersama sepupu mereka, kami berkonvoi tiga kereta menuju ke Mersing untuk bercuti.
“Ketika kejadian, saya yang berada di hadapan terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang dan terkejut bila lihat ada kenderaan lain melintang di tengah jalan, sedangkan kereta Perodua Myvi yang dinaiki anak saya tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital, malam tadi.
Arifin berkata dia yang memandu kereta Perodua Bezza terus membuat pusingan U dan mendapati kereta Perodua Myvi terbabit sudah terbalik di bahu jalan dan terus meluru keluar menyelamatkan mereka.
Dia berkata ketika usaha menyelamatkan mereka yang berada di dalam kereta itu, dia mendakwa terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca daripada pagar yang berada di kawasan berkenaan, namun tidak mempedulikannya kerana nyawa ahli keluarga lebih penting.
“Pada mulanya saya bersama pakcik berusaha untuk mengeluarkan mangsa, namun dia yang mempunyai penyakit jantung memberhentikan hasratnya itu.
“Orang ramai yang berada di lokasi tidak berani turun ke kawasan itu tetapi saya terus nekad untuk menyelamatkan mangsa satu persatu bermula dengan mendukung anak saya,” katanya lapor Bernama.
Selain Mohd Ashraf Rafiq, mereka yang meninggal dunia ialah pasangan adik beradik Muhammad Zharfan Noramin, 16, dan Muhammad Syakir Noramin 11; Siti Nurzannah Kahdar, 26; Masrina Kahdar, 21 dan Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22.
Terdahulu, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kluang ke Kahang untuk berkelah di Pantai Air Papan, Mersing, sebelum kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung kereta Honda Stream di lokasi berkenaan pada pukul 4.40 petang, semalam.