Dua kapal pindah minyak bernilai RM24.5 juta secara haram ditahan.
Nurul Hizam Zakaria |
JOHOR BAHRU -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor menahan dua kapal tangki dipercayai memindahkan minyak bahan api marin (MFO) bernilai RM24.5 juta secara haram, di timur Tanjung Sedili Besar, Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata penahanan itu melibatkan 7,000 metrik tan MFO dan dua kapal yang berdaftar dari Pulau Pinang dan Panama itu ditahan di kedudukan 32 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar, antara 10.50 pagi hingga 11.30 pagi.
"Kapal tangki yang berdaftar dari Pulau Pinang itu dikendalikan 10 orang kru termasuk seorang warganegara tempatan, lapan warga Indonesia dan satu dari Myanmar, manakala bagi kapal tangki yang berdaftar dari Panama pula dikendalikan 18 orang kru terdiri daripada 12 orang warganegara India dan enam warga Pakistan.
“Kesemua mereka berusia antara 25 tahun hingga 59 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka dipercayai melakukan pemindahan minyak itu bagi mengelakkan keperluan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Malaysia,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan menyiasat semua aspek termasuk sama ada minyak tersebut datang daripada sumber sah atau haram dan kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Selain itu, Nurul Hizam berkata dua kapal terdiri daripada kapal dagang berdaftar di Douglas, Australia dan kapal tangki berdaftar di Zanzibar, ditahan atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran pada operasi yang sama.
Sepanjang tahun lepas, sebanyak 74 kes direkodkan bagi Operasi Jangkar Haram yang menunjukkan trend penurunan bagi denda dan kompaun sebanyak RM1.843 juta berbanding 2021 iaitu 98 kes melibatkan RM2.981 juta.