Hubungi 997, duit masih lesap RM20,000 Chong


KUCHING-- Tidak sampai seminggu selepas menerima aduan tentang seorang wanita yang lesap wang berjumlah RM44,074.47 dalam bank akaun kerana dipindah tanpa kebenaran, hari ini Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen menerima satu lagi aduan tentang perkara yang sama. 

 Kali ini melibatkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Chai Mui Tchun, lesap RM20,000 dari akaun banknya selepas menjadi mangsa penipuan scammer. 

 

 

Jelas Chong, mangsa mendapati wang dalam akaun miliknya dipindahkan tanpa kebenaran dengan pembelian dalam talian tanpa pengetahuannya.

"Mangsa bertindak serta-merta apabila mengesyaki penipuan itu dengan melaporkan kepada bank dan menghubungi 997 (nombor hotline yang disediakan oleh Bank Negara untuk membantu mangsa penipuan bank), namun, dia masih gagal menghentikan transaksi dan mengalami kerugian RM20,000," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelas Pengerusi DAP Sarawak itu, sebelum ini, mangsa pernah melihat satu iklan di Facebook tentang berkaitan kereta sewa.

"Mangsa kemudian menghubungi pentadbir Facebook berkenaan dan klik pada pautan tertentu untuk membuat pembayaran deposit seperti yang dinasihatkan. 

"Apabila pembayaran depositnya tidak dapat diselesaikan, dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan dia kemudian menghubungi rakannya yang bekerja dengan Bank. 

"Dia diberitahu untuk menghubungi talian umum bank yang dia gunakan. 

"Pegawai bank kemudian memintanya untuk menghubungi 997, yang juga dia lakukan serta-merta," kata Chong.

Namun, katanya, meskipun mangsa segera menghubungi pihak berkaitan perbankannya, dua minggu kemudian, melalui e-mel bertarikh 28 Disember 2022, mangsa dimaklumkan oleh bank bahawa pada 15 Disember 2022 dalam 4.47 petang hingga 4.53 petang, terdapat enam pemindahan dana daripada akaun simpanannya ke satu akaun atas nama "Phoon".

Malah, katanya, mangsa juga diberitahu oleh bank bahawa dia mengalami kerugian RM20,000 dan wang berkenaan tidak dapat dikembalikan.

"Dalam kes ini, mangsa tidak menerima sebarang OTP atau PAC untuk kesemua enam transaksi tersebut.

"Walaupun pengguna mesti berwaspada dan berhati-hati semasa melakukan pembelian Internet, bank juga mesti menambah baik keselamatan perbankan Internet mereka. 

"Daripada maklum balas yang diberikan oleh Bank, adalah jelas bahawa Bank menyedari modus operandi dan cara penipu boleh memintas keselamatan untuk 'mencuri' wang pelanggan mereka daripada akaun bank mereka. 

"Namun, Bank telah gagal untuk menambah baik sistem keselamatannya untuk mengelakkan kecurian tersebut," tegas Chong.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkaitan agar bertindak sewajarnya, manakala pihak polis diminta untuk bertindak bagi mengatasi masalah tersebut.

"Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia tidak boleh membiarkan penipuan seperti itu terus berlaku dengan bank-bank menolak daripada bertanggungjawab.

"Antara bank dan pendeposit individu, bank berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menambah baik sistem keselamatan perbankan Internet dan keupayaan untuk menyerap kerugian. 

"Oleh itu, hanya apabila bank terpaksa menanggung kerugian sedemikian barulah kes penipuan ini akan dikurangkan," ujarnya.




Next Post Previous Post