Chong Chieng Jen 张健仁 mohon bantuan siasatan terperinci kes 10 mangsa kecurian wang dari akaun bank, serah maklumat kepada Steven Sim Chee Keong 沈志强
KUCHING-- Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen bantu 10 mangsa penipuan transaksi perbankan dengan menyerahkan butiran mangsa dan laporan kepada Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong yang diserahkannya hari ini.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Sarawak (DAP) itu menyerahkan butiran tersebut menerusi satu surat kepada Steven Sim semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas timbalan menteri itu di Kuala Lumpur.
Tegas Chong dalam surat berkenaan, bank tidak seharusnya bersikap lepas tangan daripada bertanggungjawab dalam kes penipuan transaksi ini.
"Bank juga tidak seharusnya menyalahkan pendeposit dengan memuat turun aplikasi tertentu yang menjejaskan maklumat akaun mereka.
"Pihak bank sepatutnya perlu membantu meminimumkan kerugian pelanggan mereka, namun ia tidak berlaku.
"Walaupun pendeposit telah tersilap memuat turun aplikasi (yang digunakan untuk mencuri data perbankan pelanggan), mereka tidak seharusnya dihukum dengan kehilangan wang simpanan sepanjang hayat mereka," katanya.
Jelasnya, masih terdapat langkah keselamatan yang harus disediakan oleh pihak bank.
Dalam era digital ini, katanya pembelian dalam talian dan e-dagang adalah satu cara hidup.
Tambahnya, kebanyakan orang, terutamanya generasi muda, memilih gaya hidup dengan pembelian dalam talian dan e-dagang ini.
Sebab itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengawal selia di mana kerugian itu berlaku.
Pada masa yang sama, Chong meminta Kementerian Kewangan campur tangan supaya siasatan lebih teliti dijalankan untuk menjejak wang yang hilang, seterusnya membawa pesalah ke mahkamah dan membayar pampasan ke atas kerugian mangsa.
"Platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Grab dan lain-lain juga perlu digabungkan dengan bank supaya platform terbabit tidak digunakan sebagai platform untuk memudahkan penipuan.
"Semua mangsa telah membuat laporan polis berhubung penipuan itu, tetapi setakat ini tiada sebarang maklum balas daripada polis sama ada tindakan telah diambil," ujarnya.
Tambahnya, mangsa juga telah memfailkan tuntutan mereka dengan bank, tetapi bank telah menolak semua tuntutan tersebut.
Menurutnya lagi, dasar yang melindungi pengguna dan pelanggan bank perlu lebih ketat memandangkan penipuan dalam talian sebegini semakin berleluasa dan kesan yang teruk kepada mangsa.
Katanya, dengan dasar sedemikian akan memaksa bank untuk menambah baik sistem keselamatan perbankan Internet pelanggan.
Selain itu, Chong turut mencadangkan beberapa perkara untuk dasar yang lebih mesra pendeposit, serta langkah yang boleh diambil oleh bank untuk mengurangkan urus niaga penipuan tersebut dan membantu mengelakkan kerugian kepada pemegang akaun mereka.
Cadangan itu mungkin katanya, akan menimbulkan kos tambahan dan menyusahkan orang ramai, tetapi memandangkan trend penipuan transaksi yang semakin meningkat, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memaksa bank-bank di Malaysia memperkenalkan mekanisme keselamatan sedemikian bagi melindungi wang rakyat di bank.
Jelas beliau, antara cara itu bank menanggung kos tambahan dengan memperkenalkan mekanisme bagi menjadikan bank bertanggungjawab atas penipuan tersebut.
Oleh itu, beliau berharap kementerian akan mengambil tindakan yang segera dan memberi maklum balas mengenai kedua-dua kes khusus 10 mangsa dan perubahan umum dasar untuk menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada orang ramai.