Cemburu dipercayai motif pembunuhan


KOTA KINABALU-- Kes pembunuhan seorang lelaki yang melibatkan penahanan lapan anggota polis termasuk empat pegawai kanan adalah bermotifkan cemburu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, kes itu lebih kepada bersifat peribadi bukannya melibatkan isu keselamatan di Sabah.

"Seorang wanita iaitu orang awam sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya semasa sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, pada Selasa lapor Sinar Harian.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Sebelum itu, Idris memaklumkan polis sudah menahan lapan anggota dan pegawai polis serta tiga lagi orang awam.

Katanya, awam yang ditahan adalah bagi membantu siasatan dan mengumpulkan bahan bukti sebelum tindakan lanjut diambil.

Dalam kenyataan terdahulu, Idris berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan Pasukan siasatan Khas dari Bukit Aman.

"PDRM tidak membuat kenyataan terperinci mengenai kes ini kerana ia masih terlalu awal dan dibimbangi boleh mengganggu siasatan," katanya.

Semalam media melaporkan penganggur, tertuduh, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di Kota Kinabalu antara 7.30 hingga 9 malam, 13 Januari lepas.
Next Post Previous Post