Beberapa cadangan SOP tambahan untuk Sarawak bakal dibincangkan di mesyuarat Kabinet esok, penyelarasan akan dibuat antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri-Lukanisman
Katanya, ini adalah sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes jangkitan COVID19, susulan pembukaan semula sempadan negara China pada 8 Januari ini.
“Memandangkan Sarawak (Jawatankuasa Pengurusan Bencana atau SDMC) mempunyai agensi sendiri yang mengawal selia dan merangka strategi serta SOP, kita di peringkat pusat akan memastikan semua langkah berjaga-jaga dalam mencegah penularan COVID-19 diselarikan dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, " katanya dalam satu sidang media di Miri pagi tadi.
"Mengambil serius dengan situasi semasa, terutama selepas Negara China membuat keputusan untuk membuka semula pintu sempadan antarabangsanya pada 8 Januari ini, kerajaan sentiasa dalam keadaan memantau keadaan tersebut....dan pada masa ini, SOP kita adalah sama dengan apa yang dijalankan oleh negara jiran lain, dan SOP ini boleh diubah berdasarkan situasi semasa, kita akan sentiasa melakukan kemas kini di semua pintu masuk (untuk Sarawak)," katanya.
Jelasnya, , SOP ini boleh diubah dalam tempoh 48 jam, bergantung kepada situasi terkini.
Terdahulu, Lukanisman telah mengadakan satu lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Miri yang baru sahaja siap.
Klinik kesihatan yang menelan kos sebanyak RM26.3 juta ini terletak hanya bersebelahan dengan Hospital Miri.
Ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun tahun ini.
Dalam perkembangan lain, susulan pengesanan dua varian utama COVID-19 di Malaysia, iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang didapati merebak dengan pantas di China ketika ini, Lukanisman berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia memantau situasi itu dari masa ke semasa untuk memastikan kesihatan awam terjaga dan pencegahan jangkitan dapat dilakukan.