Angkara dadah RM6,225 - Dua individu berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan
MIRI -- Cubaan seorang lelaki warga tempatan membaling satu beg uncang misteri melalui tingkap bilik sebuah hotel bajet membawa padah, selepas polis menemukan beberapa paket plastik mengandungi ketulan-ketulan dadah jenis Methamphetamine seberar 11.5 gram dalam serbuan tengahari tadi (Selasa).
Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri sekitar jam 12.15 tengahari itu turut menahan seorang wanita berusia 41 tahun.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek lelaki berusia 37 dan rakannya itu sedang ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Kedua-dua saspek akan dibawa ke Mahkamah Miri pada esok (Rabu) hari untuk permohonan reman,"katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut pada bilik hotel tersebut, pihak Polis menjumpai satu bekas plastik yang mengandungi beberapa paket plastik berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (51 gram).
Anggaran berat jumlah rampasan ialah 62.50 gram dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM6,225.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Pihak Polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.